Rabu, 29 September 2010

Budak sekolah agama



Artikel ini pada asalnya saya nukilkan untuk berkongsi satu fenomena yang dipanggil Fenomena 'Budak Sekolah Agama' (FBSA). Saya melihat fenomena ni tak ramai yang menyedari mahupun ambil peduli tapi sebagai graduan sekolah agama saya terpanggil untuk berbicara sedikit.

Bukan berniat mengutuk mana-mana individu tapi muhasabah jua buat diri yang lemah. Pokoknya, saya risaukan generasi harapan yang dilahirkan dari sekolah agama.

Teringat dulu hujung-hujung pengajian peringkat rendah di Pahang, saya terfikir nak sambung belajar di mana. Ramai yang nasihatkan saya supaya sambung di sekolah sains. Yang terdekat Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) tak jauh dari rumah.

Namun, dalam hati sanubari berasa ingin sangat menimba pengalaman di sekolah agama. Ibu bapa turut menggalakkan dan seingat saya 3 sekolah yang menawarkan pengajian. Sekolah Agama Dong, Sekolah Agama TAHAP dan terakhir SMAP Kajang.

Atas nasihat ibu dan ayah, saya memutuskan untuk sambung di SMAP Kajang. Bukan apa, terasa suasana baru yang jauh sikit dari rumah, keluar merantau ke negeri orang pasti banyak pengalaman baru yang diperoleh.

Itu sedikit review mengenai pertama kali nak ke sekolah agama. Yang kita bincangkan FBSA tadi adalah apa yang berlaku sepanjang di sekolah tersebut. Apa yang saya lihat rata-rata budak sekolah agama yang keluar dan sambung mengaji di IPT kebanyakannya malu untuk mengaku pernah belajar di sekolah tersebut.

Fenomena 1: Malu aku nak mengaku sekolah agama.

Pelik. Ajaib. Menarik juga. Pelik dan ajaib kerana perkara sebegini boleh berlaku. Bayangkan berlaku perbualan sebegini,

Kancil MRSM: Wah, aku tak sangka kau ada bakat menyanyi. Sedap juga aku dengar suara kau ni. Pegi la try audition Akademi Fantasia tu..
Rusa Sekolah Agama: Erm, boleh la sikit-sikit. Aku memang bercadang nak join audition tu, maybe minggu depan kut. Aku bukan la pandai sangat tapi pernah la berlatih kat sekolah dulu..
Kancil MRSM: Oh, yeke. Patut la, kau dulu sekolah mana ye?
Rusa Sekolah Agama: Err.. aku.. aku dulu sekolah biasa je kat kampung.

Saya tak salahkan si Rusa. Saya rasa tiada yang perlu disalahkan tapi yang penting kita mencari puncanya. Aduhai, kecil hati saya mendengar perbualan sebegini. Kadang-kadang untuk cover yang lebih baik, jawapan paling selamat adalah beritahu sekolah lama sebelum ke sekolah agama. Malah, yang lebih teruk jika terus saja menipu orang lain.

Menarik kenapa ya? Menarik jika kita pandang dari sudut yang sedikit berbeza. Malu mungkin faktor biasa tapi terfikir juga saya mungkin ada rasa bersalah. Rasa bersalah dengan ustaz ustazah yang mengajar, rasa bersalah dengan kawan-kawan lama yang dulu sama-sama duduk bersama berusrah.

Agak-agak saya mungkin perasaan itu yang timbul. Maka, tak dinafikan memang wujud Fenomena 1 ini di mana-mana. Persoalannya, apakah faktor sebenar berlaku dan apa tujuan wujudnya fenomena ini.

KEJUTAN BUDAYA

Merujuk perkara di atas, inilah antara fenomena ketara yang saya rasakan menyumbang besar kepada kerosakan produk-produk suci sekolah agama. Biasa la, di sekolah ustaz ustazah ramai boleh tarbiyah tapi sekarang dah tiada. Di sekolah tiap2 minggu buat usrah, manisnya berusrah. Abang naqib memang hebat bagi pengisian kat surau tapi sekarang semua tu dah tiada. Tengok-tengok abang naqib tu pun sama.

Fenomena 2: Sekolah agama cerita zaman dulu merupakan satu fenomena berat.
Semuanya bertitik tolak dari tarbiyah yang berjaya di sekolah. tapi tarbiyah itu bukanlah segala-galanya. Tak sedikit juga yang kurang tarbiyah di sekolah tapi dialah ustaz pada hari ini. Kalau kita tengok ramai juga rakan-rakan keluaran MRSM yang lebih ustaznya dari budak sekolah agama bukan kerana tarbiyah yang mantap sangat di sekolah. Tapi muncul pula istilah kedua iaitu kesedaran.

Maka, ini yang saya runsingkan. Kesedaran budak sekolah agama sudah kurang. Sensitiviti sudah kurang, nilai tarbiyah sudah menyusut hanya kerana keluar dari sekolah agama melangkah ke alam yang tidak biasa tapi lebih 'seronok'.

Dulu dengan budak perempuan nak cakap dihadang pintu, sekarang study berdua dalam bilik seminar bukan ada orang kacau. Di mana silapnya? Janganlah menuding saja tapi mencari solusi.

Kadang-kadang kejutan budaya bukan lepas tamat sekolah saja. Tapi berlaku sedikit-sedikit dalam hidup. Mula bertudung labuh, makin singkat sampai tercabut tudung tu. Lagi saya terkejut betapa seolah-olah tersiksanya jiwa 4,5 tahun terpaksa bertudung di sekolah agama. Mashaallah, lemahnya jiwa sebegini.

Tapi isu ini saya masukkan dalam fenomena ketiga. Jom bincang lagi.

Fenomena 3: Aku tak nak hipokrit.

MENCARI ATAU MENJADI

Adam: Wah, lama tak jumpa kau. Apa khabar?
Nur: Aku sihat, ada je sekitar Bangi ni. Kau dah kerja ke?
Adam: Aku ada setahun lagi. Final year la ni. Wah, free hair dah kau sekarang ye?
Nur: Aku habis sekolah dulu memang free hair dah. Ini la diri aku yang sebenar.
Adam: Err.. maknanya kau memang pakai tudung kat sekolah je ke?
Nur: Memang pun, aku kat rumah pun macam ni dari kecil. So, aku tak nak la orang kata hipokrit, lebih baik jadi diri sendiri..

Terkejut si Adam, dah lama tak jumpa tiba-tiba begitu pula jadinya. Ada satu point yang boleh diambil dari perbualan tadi iaitu keluarga juga boleh menjadi faktor yang besar. Pemberatnya ada di situ.

Tak kira la bertahun-tahun dididik diasuh menjadi ustazah sekalipun di sekolah, kalau budaya keluarga tidak menyokong ke arah itu bagaimana mungkin anak itu akan termotivasi.

Kadang-kadang saya pelik juga ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah agama supaya belajar agama pandai solat sebab mereka sendiri tak solat. Malangnya kerana ibu bapa yang sepatutnya mengajar anak-anak solat.

Mungkin mereka merasakan setakat itu usaha mereka hakikatnya kewajipan tetap kewajipan. Pandanglah dari sudut masa depan anak-anak dan generasi akan datang. Jangan diharap ustaz ustazah di sekolah sahaja namun ibu bapa perlu berubah untuk mencorak anak-anak dengan warna yang baik.

Berbalik isu hipokrasi, mungkin satu alasan sahaja. 5 tahun di sekolah agama rasa saya boleh mengubah seseorang menjadi orang yang lebih baik. Ada juga ibu bapa yang di rumah jenis minum, berjudi dan melakukan maksiat tapi anaknya berbeza. Mungkin kesedaran ada dek tarbiyah yang berjaya. Pada saya bukan isu hipokrasi, tapi kehendak diri yang nak jadi begitu.
You choose to be what you are.

USAHA

Justeru, saya menyeru semua termasuk diri saya untuk muhasabah kembali. Adakah jalan penyelesaian kepada tiga fenomena ini? Pasti ada. Dan pasti kena ada untuk mengelakkan institusi sekolah agama tidak diperlekehkan kerana produknya yang langsung tidak menggambarkan prosesnya.

Mungkin kerana terlalu disudu di sekolah, tak sempat dihadam muntah semula jadi orang yang biasa. Pada saya, budak sekolah agama luar biasa. Harapnya bukan di sekolah sahaja.

Maka, semua pihak perlu berperanan. Jangan disalahkan budaya keluarga sahaja kerana perkara itu kita tak boleh kawal. Jangan dituju ustaz ustazah sahaja kerana bukan mereka memberi hidayah tapi cuma menyampaikan.

Maka, doa perlu berterusan. Namun, adakah cukup berdoa saja sedang Allah menimbangkan usaha? Maka, jangan sekadar mengharap semuanya akan jadi baik kalau kita semua tidak menggarap usaha untuk menjadi yang terbaik.

Akhir kalam, risau juga kalau saya yang berubah. Hari ini kita pandai cakap orang, esok lusa kita tak tahu. Teringat kata-kata kawan lama saya, pendebat sekolah yang hebat dulu. Katanya, "transformasi manusia ada faktor masa yang sangat kuat mendorong.

Jangan ingat kau sekarang jadi naqib, baik, alim tapi kau tak tahu apa jadi kat universiti nanti, masa kerja nanti..". Maka, biarlah masa yang berbicara. Semoga masa berbicara tentang kebaikan mengenai kita semua.


Tiada ulasan: