Rabu, 3 November 2010

Berehat Di Syurga atau Berehat Di Dunia... Mana Satu Menjadi Pilihan?

Hakikatnya, memimpin diri sendiri adalah jauh lebih payah dari memimpin orang lain. Saya masih teringat kata guru saya, ramai pahlawan dan panglima perang yang hebat di medan perang, tetapi kalah dengan diri sendiri. Jalaluddin ar Rumi pernah berkata:

“Aku melihat ramai yang pandai berenang tetapi lemas di laut, akan tetapi aku belum pernah melihat sampan yang bernama iman dan cinta itu karam di lautan”

Saiyyiduna ‘Umar al Khattab pernah memberitahu bahawa seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam. “tafaqqahu qabla an tasawwadu”, begitulah lebih kurang bunyinya yang bererti “faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin”. Sangat dalam pengertian ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Kerana itu jugalah Asy Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal, jihad, pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang memimpin amal dan perjuangan itu jahil dan berpaksikan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.

Namun ini bukanlah bermakna, nak kena lengkapkan diri dahulu baru seru orang kearah kebaikan dan cegah orang dari kemungkaran. Persepsi ini, saya kira amat salah sekali. Hal ini kerana, menyeru manusia kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran, juga merupakan salah satu manhaj mengfaqihkan diri. Untuk diri seorang dai’e, satu sifat penting yang perlu ada adalah berani. Untuk menjadi seorang yang hebat dan memberi impak kepada masyarakat, sifat berani itu sangat dituntut.


Kita merindukan du’at yang berjiwa Khalid Al Walid yang sanggup mati berjuang dijalan Allah SWT. Kita juga merindukan du’at yang berjiwa Umar Al Khattab yang gagah perkasa dan berani menyatakan hak disamping mengkuburkan kebatilan. Dan kita juga amat sekali merindukan jiwa du’at seperti Rasulullah SAW yang berjaya melahirkan generasi du’at yang hebat.

Saya tertarik dengan kekentalan semangat Gabenor Syarifuddin Barghisy. Antara kata-kata beliau yang masyhur:

“siapa yang takut terbunuh atau tertawan, maka lebih baik baginya beristirahat di rumah dengan anak isterinya”

Kata-kata yang berbekalkan keberaniaan terpandu ini dilafazkan oleh beliau ketika dalam mesyuarat yang direncanakan oleh Asaduddin Syirkuh. Mesyuarat kali itu bertujuan untuk mencari resolusi bagi mengalahkan tentera lawan yang teramat ramai. Dan ketika dalam kekalutan mesyuarat itulah, Gabenor Syarifuddin Barghisy melaungkan kata-kata ini.

Jika kita lihat, bukan Gabenor Syarifuddin sahaja yang memperingatkan kita agar jangan kita duduk tanpa berfikir dan beramal untuk Islam. Banyak lagi tokoh lain yang turut melaungkan saranan yang sama. Antaranya, Tuan Guru Nik Aziz. Kata beliau:

“duk sajo tamboh lalai pulok, dosa”(bahasa Kelantan)

Kata Arwah Ustaz Fadzil Noor:

“jangan biarkan sehari dalam hidup anda berlalu tanpa memikirkan tentang Islam”

Mengapa sebegini ramai tokoh-tokoh hebat memperingatkan kita tentang perkara ini. Tujuannya satu sahaja sahabat-sahabat. Agar kita tidak menjadi ASHABUL ‘UQUL AL MUSTARIHAH, yang membawa makna ‘PEMILIK AKAL YANG BERISTIRAHAT’.

Oleh itu sahabat-sahabat, mari sama-sama kita renungkan sejenak. Jika kita lihat, Imam Al Nawawi sendiri tidak membiarkan dirinya beristirahat dari menuntut ilmu. Setengah riwayat menyebut, kesibukan beliau menuntut ilmu sehingga membuatkan beliau terlupa untuk berkahwin. Bayangkan sahabat-sahabat sekalian. Memang jauh bezanya dengan kita. Kita belajar pun tak habis lagi, ibadah pun terumbang-ambing lagi.. dah sibuk-sibuk fikir pasal kahwin. “tapi tidak bermakna kahwin awal itu salah”. (^^,).. Perkara ini memerlukan kepada perbahasan yang panjang. Mungkin bukan diruang ini untuk saya menerangkan.

Konklusi yang saya dapat nyatakan disini adalah, yang pertama, orang Islam tidak boleh membiarkan majoriti masa mereka kosong tanpa diisi dengan perkara berfaedah. Sekurang-kurangnya, berfikir dan merenung tentang Islam. Keduanya, orang Islam mesti menjadi berani. Mereka mesti berani mencabar risiko dan menongkah arus.

“SESUNGGUHNYA PEJUANG ISLAM ITU TIDAK MAHU BEREHAT DI DUNIA KERANA MEREKA INGIN BEREHAT DI SYURGA”

Dipetik dari,
i-mujaddid.blogspot.com

Tiada ulasan: