Khamis, 3 Februari 2011

Kewajipan dan Tanggungjawab dalam Berukhuwwah




Ukhuwwah dalam Islam merupakan satu jalinan aqidah yang mempertautkan umat Islam antara satu sama lain. Ia merupakan ikatan rabbani yang mengikat antara hati mereka dan merupakan jalinan yang erat untuk taqarrub kepada Allah. Persaudaraan merupakan ikatan iman yang paling erat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:


“Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad daripada Al-Bara’ Ibn Azib)


Dalam Islam, persaudaraan merupakan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha untuk memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara penganutnya.


Ikatan persaudaraan perlu diperdalamkan semoga dengan ingatan persaudaraan yang mendalam ini Islam dapat menjadi satu bangunan yang kuat yang saling taut menaut antara satu sama lain atau menjadi satu jasad yang akan mengadu kesakitan apabila salah satu anggotanya diserang penyakit.

Untuk menjamin persaudaraan ini dapat memainkan peranannya yang diharap-harapkan, Islam telah menjelaskan hak-hak dan kewajipan persaudaraan yang praktik seperti berikut, sehingga hak dan kewajipan-kewajipan ini dapat dilihat sebagai satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan hanya setakat kata-kata dibibir atau teorinya sahaja.


1. Persaudaraan mestilah dapat menolong usaha-usaha melakukan taat kepada Allah sebagai membenarkan apa yang telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang saleh. Seandainya beliau lupa (temannya itu) akan memperingatkan dan apabila temannya itu memperingatkannya beliau akan menolongnya.”

Inilah juga yang telah dibayangkan oleh Omar bin Khattab dalam katanya: “Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesukaran.”

2. Persaudaraan merupakan kerjasama di sudut kejiwaan, merasakan keperluan-keperluan saudaranya dan berusaha untuk menunaikan keperluan tersebut, sebagai memenuhi tuntutan sabda Rasulullah s.a.w.:


“Sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dalam usaha untuk menunaikan keperluannya (dan Baginda memberi isyarat dengan jejarinya), adalah lebih baik baginya daripada berikhtikaf di masjidku ini selama dua bulan.” (Hadis riwayat Hakim dan Tabarani daripada Ibn. Abbas)


3. Persaudaraan yang kerjasama di bidang kebendaan, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


“Siapa yang melapangkan seorang muslim daripada satu kesusahan dunia Allah akan melapangkannya daripada satu kesusahan pada hari kiamat. Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berkepayahan Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Siapa yang menjaga rahsia seorang muslim di dunia, Allah akan menjaga rahsianya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya. ” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmizi dan Ibn. Majah)


4. Persaudaraan merupakan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi beberapa kewajipan yang ringkas. Yang terpenting daripada tanggungjawab itu ialah apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim adalah enam perkara: Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah memberi salam. Apabila beliau menjemputmu hendaklah engkau menunaikan jemputannya. Apabila beliau meminta nasihatmu hendaklah engkau menasihatinya. Apabila beliau bersin dan menyebut Alhamdulillah hendaklah engkau menyebut yarhamkallah. Apabila beliau sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila beliau meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya.” (Hadis riwayat Muslim. Bukhari menyebut lima hak sahaja)


5. Persaudaraan dalam Islam merupakan satu kemesraan, kasih sayang dan saling membantu. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Janganlah kamu memutuskan silaturrahim , jangan kamu berpaling memberi belakang, jangan kamu benci-membenci, jangan kamu hasad dengki. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak harus bagi Muslim meninggalkan tegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.” (Riwayat Malik, Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi, Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis sepertinya)


“Jangan kamu memandang rendah sebarang kebaikan, walaupun dengan hanya kamu menemui saudaramu dengan muka yang manis.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Darr)


“Setiap perkara kebaikan itu sedekah dan sesungguhnya diantara kebaikan itu kamu menemui saudaramu dengan manis muka dan menuangkan (air) daripada bejanamu ke dalam bejana saudaramu.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad dan Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan Sahih. Muslim meriwayatkan sebahagian daripadanya)


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kelak kamu akan berkasih sayang dan hilanglah permusuhan.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Abu Ya’la)


6. Persaudaraan dalam Islam merupakan keghairahan dan kesetiaan. Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


“Sesiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya, Allah akan menjauhkan api daripada mukanya di hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat Tirmizi daripada Abu Darda)


“Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan (saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali beliau mendoakan kebaikan utk saudaranya malaikat yang diwakilkan itu berkata : Amin dan bagimu juga seperti itu.” (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Darda)


Tiada ulasan: